15 September 2011

Isu Profesionalisme Perguruan

LAPORAN ANALISIS ISU :
“GURU PERLU TERAP NILAI SABAR DAN PENYAYANG”
1.0         Pengenalan
Dalam era globalisasi, guru sering diuji dengan pelbagai cabaran dan spekulasi yang menyebabkan bidang pendidikan menjadi isu hangat dalam media massa dan media elektronik masa kini. Antara isu yang hangat diperkatakan ialah masalah disiplin guru seperti guru membelasah murid, guru mencabul kehormatan murid dan lain-lain lagi. Mengapa semua ini terjadi? Adakah ia silap guru itu sendiri atau berpunca daripada murid? Bak kata peribahasa, ‘meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri’ yang bermaksud, orang yang menceritakan keburukan orang lain tetapi dirinya sendiri yang tidak betul.
2.0         Definisi Guru, Murid, Sabar dan Penyayang.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘guru’ bermaksud orang yang mengajar , pendidik, pengajar dan pengasuh (halaman 492) manakala murid pula bererti orang atau anak yang sedang belajar atau berguru, pelajar atau penuntut (halaman 1057). Oleh yang demikian, jika dirangkumkan kedua-dua perkataan iaitu guru dan murid maka boleh dikatakan di sini bahawa guru merupakan pendidik yang bertanggungjawab mengajar dan mendidik murid menjadi insan yang berguna.
Seterusnya, sabar bermaksud tidak terburu-buru atau tenang contohnya guru perlu sabar melayan kerenah dan sikap murid mereka manakala penyayang bermaksud orang yang kasih akan yang lain, pengasih, pencinta dan bersifat belas kasihan contohnya, guru perlu mempunyai sifat penyayang terhadap semua murid tanpa mengamalkan diskriminasi.
3.0         Analisis Isu.
Melalui artikel yang telah dianalisis, isu yang diperkatakan ialah mengenai tugas-tugas seorang guru atau pendidik. Umum mengetahui tugas guru bukan hanya setakat mengajar dan mendidik anak bangsa menjadi manusia yang cemerlang di dunia, bahkan menjadi sebahagian tanggungjawab seorang guru bertindak sebagai ‘role model’ kepada murid dengan memberi contoh teladan yang baik dari segi sahsiah dan akhlaknya.
Namun demikian, guru telah diuji tahap kesabaran dan emosi mereka dalam mendidik murid-murid yang kini lebih maju ke hadapan terutama dalam bidang teknologi maklumat (ICT) berbanding dengan murid-murid pada era 50-an. Kita seringkali terdengar di media massa dan media elektronik  tentang kes-kes guru yang bertindak di luar batasan apabila tidak dapat mengawal emosi ketika memarahi murid. Jadi, guru  perlu memupuk nilai murni iaitu sifat sabar dan penyayang dalam diri mereka agar dapat menghindari perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Terdapat banyak hadis nabi yang mengisahkan tentang pentingnya nilai kesabaran dan kelembutan dalam mendidik. Guru perlulah mengambil pengajaran daripada hadis-hadis tersebut dalam mendidik anak bangsa menjadi generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang sekaligus menjadi modul insan kelas pertama. Walaupun seorang murid melakukan kesalahan, guru tidak patut bersikap terburu-buru dalam menghukum murid tersebut sebaliknya perlu bersikap rasional dalam menghadapi situasi sedemikian bak kata peribahasa ‘seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit’.
Di samping itu, seorang guru harus sabar menerima masalah murid, penyayang dan tidak pilih kasih terhadap murid-muridnya. Guru perlu menerima perbezaan individu setiap murid seperti perwatakan dan sikap, gaya pembelajaran, dan tahap pencapaian mereka. Oleh yang demikian, guru perlu bijak merancang sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik dan sesuai dengan tahap pencapaian murid agar tidak timbul isu diskriminasi terhadap murid sekaligus nilai murni sabar dan penyayang dapat diterapkan dalam diri guru tersebut.  
4.0         Cadangan penambahbaikan.
Antara cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut :-
4.1         Muhasabah diri.
-       Guru perlulah muhasabah diri kerana tidak ada sesiapa yang dapat mengubah seseorang melainkan diri sendiri dan sekiranya guru menyedari kelemahan diri, guru perlulah berusaha memperbaiki kelemahan tersebut. Hal ini perlulah dilakukan secara berperingkat kerana jika dilakukan secara mendadak dikhuatiri akan memberi tekanan dari segi mental kepada guru tersebut. Muhasabah diri juga penting bagi seorang guru dalam membina jati diri dan semangat ketika bekerja di samping dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P).
-       Guru juga boleh membuat penilaian kendiri. Umum mengetahui bahawa penilaian kendiri penting dan menjadi kayu ukur kepada seseorang untuk melihat sejauh mana tahap pencapaian dan kecemerlangan individu. Guru cemerlang adalah guru yang mampu menilai dirinya dari sudut positif mahupun negatif dan berusaha memperbaiki kelemahan diri khususnya dalam mendidik diri menjadi penyabar dan penyayang di samping meningkatkan kemahiran yang sedia ada. Oleh sebab itu, barulah jiwa guru itu menjadi tenang dan bersedia menghadapi apa jua keadaan dalam dunia pendidikan yang kian mencabar.
4.2         Memahami Kod Etika Perguruan.
-      Kod Etika Perguruan amatlah sinonim bagi mereka yang bergelar guru. Kod Etika Perguruan perlulah difahami oleh setiap guru bagi meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan, peranan, dan tingkah laku profesion dalam masyarakat. Oleh yang demikian, guru perlulah memahami Kod Etika Perguruan supaya mereka lebih jelas dan faham tentang tanggungjawab mereka sebagai pendidik.
-   Selain itu,  Tonggak 12 juga perlu diambil berat oleh guru sebagai penjawat awam. Sekiranya guru mengamalkan  kesemua 12 ciri yang terkandung dalam Tonggak 12 ini, maka guru itu akan menjadi guru yang baik, beretika, penyabar dan penyayang.
-      Bagi membentuk guru yang mempunyai nila-nilai murni seperti sabar dan penyayang, guru itu sendiri haruslah memahami dan mengamati konsep 16 nilai murni yang telah digariskan oleh Datuk Seri Anwar bin Ibrahim ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan suatu masa dahulu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan juga Falsafah Pendidikan Guru (FPG).   
            4.3       Mengikuti Kursus.
                             -  Bagi meningkatkan kualiti dan mutu pengajaran, guru seharusnya mengikuti   kursus-kursus yang boleh membina jati diri dan kawalan emosi yang kebiasaannya dikelolakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling. Kita juga sedia maklum bahawa guru yang telah lama mengajar selalunya kurang pembaharuan dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian, strategi pengajaran juga perlu diperbaharui agar timbulnya minat untuk murid-murid belajar.
- Di samping itu, pengurusan emosi guru juga amat penting kerana ia akan mempengaruhi cara pengajaran guru di dalam kelas bahkan cara berkomunikasi guru di luar kelas. Guru yang tidak mampu mengawal emosinya akan menyebabkan berlakunya masalah-masalah disiplin guru yang tidak diingini. Justeru,guru perlu mendidik diri menjadi penyabar dan penyayang demi kecemerlangan sejagat.


            4.4       Pemantauan dari Pihak Pentadbir.
-Pihak pentadbir sekolah perlulah membuat pemantauan dari semasa ke semasa terhadap guru-guru di bawah seliaannya. Pemantauan boleh dibuat secara mengejut dengan memantau guru yang sedang mengajar di dalam kelas dan bertanya kepada murid-murid tentang cara pengajaran guru tersebut dan sikapnya ketika mengajar. Hal ini membolehkan pihak pentadbir mengetahui perkara sebenar dan bukan sahaja mendengar khabar angin yang menceritakan tentang keburukan seseorang guru. Jika didapati seseorang guru itu bermasalah, maka tindakan lanjut haruslah diambil bagi memulihkan keadaannya agar tidak mendatangkan kesan buruk terhadap murid-muridnya.
            4.5       Kerjasama Profesionalisme.
- Kerjasama profesionalisme antara rakan sejawat amat penting dalam  membantu seseorang guru memperbaiki diri. Guru yang penyabar dan penyayang merupakan guru yang dikasihi oleh murid-murid, rakan-rakan dan juga masyarakat. Rakan sejawat mempunyai peranan penting dalam menasihati rakannya yang lain agar tidak terus menerus membuat kesalahan. Di samping itu, masalah peribadi tidak seharusnya dicampur adukkan dengan masalah di tempat kerja demi menjamin kecemerlangan kerjaya. 



5.0         Rumusan
Secara konklusinya, guru perlulah berpegang teguh kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)  dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang menjadi tunjang kepada bidang pendidikan negara. Guru juga perlu mengamalkan Tonggak 12 yang telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk semua kakitangan awam yang berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia. Selain itu, 16 nilai murni perlu diterapkan dalam diri guru tersebut kerana dalam kurikulum pendidikan, guru wajib menerapkan nilai murni dalam setiap mata pelajaran yang diajar kepada murid-murid. Walau bagaimanapun, pihak pentadbir dan rakan sejawat juga memainkan peranan dalam memantau dan membantu guru-guru yang bermasalah supaya profesion perguruan tidak diperlekehkan dan dipandang serong oleh masyarakat. 




No comments:

Post a Comment